“Mak, adik pergi dulu.”
Itu kata-kata Abu Izzani Abu Bakar, 21, kepada ibunya Intan @ Molek Mohd. Yusoff, 50, pada Rabu lalu bukan seperti kebiasaannya sebaliknya merupakan ucapan perpisahan setelah mayat Allahyarham bersama tiga rakannya ditemukan dalam kereta di sungai sebuah ladang kelapa sawit di Kilometer 42, Jalan Kota Tinggi-Mersing, di sini hari ini.
Intan berkata, Abu Izzani yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik sempat mencium pipi dan bersalam dengannya sebelum keluar dari rumah mereka di Taman Seri Alam, Johor Bahru kira-kira pukul 9.30 malam Rabu lalu.
“Dia (Abu Izzani) merupakan anak yang manja dan sebelum dia bergerak ke Terengganu saya ada berpesan kepadanya agar sentiasa menghantarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada saya, namun selepas itu dia langsung tidak menghantar SMS selain gagal dihubungi.
“Selama tujuh hari dia hilang pelbagai ikhtiar kami sekeluarga telah lakukan termasuk menjejaki laluan yang digunakan mereka ke Terengganu selain melakukan solat hajat,” katanya ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Mersing.
Menurut Intan, dia akhirnya menerima berita berhubung penemuan kereta dan keempat-empat mangsa daripada salah seorang ahli keluarga mangsa pagi ini.
“Meskipun sedih dengan nasib yang menimpa anak saya namun kami reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.
Sementara itu Nik Arif Nik Mansor, 46, bapa kepada Nik Shakir Zufayri, 21, berkata, anaknya itu yang memandu kereta sepatutnya menjemput sepupunya di Kuantan namun gagal dihubungi sejak bertolak dari rumah mereka.
“Pukul 12 tengah hari keesokan harinya kakak ipar di Kuantan hubungi saya mengatakan anak saya masih belum sampai di sana selain gagal dihubungi.
“Saya juga ada cuba menjejaki laluan ke Kuantan sebanyak tiga kali termasuk melalui kawasan kejadian kemalangan anak saya namun tidak menemukan apa-apa sehinggalah dimaklumkan berhubung penemuan kereta Honda Accord anak saya di sungai itu pagi ini,” katanya.
Nik Arif yang merupakan bapa kepada empat anak berkata, dia membuat pengecaman anak sulungnya itu berdasarkan kasut dan tali pinggang yang dipakai Nik Shakir Zufayri.
Katanya, anaknya itu sudah beberapa kali ke Terengganu namun kali ini pergi ke negeri itu bersama-sama tiga rakannya itu.
– See more at: http://m.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/8216-mak-adik-pergi-dulu-8217-1.191813#sthash.Iafmj94f.dpuf