Pendakwah terkenal, Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias hari ini menukilkan isi hatinya melalui kemas kini status di Facebook selepas rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita kesihatannya, Jumaat lalu.
Mohd Kazim berkongsi keadaan kesihatannya selain meminta maaf kepada semua pihak termasuk keluarganya.
“Saya mengambil kesempatan di sini memohon maaf zahir dan batin, dunia dan Akhirat jika saya ada tersalah silap dengan saudara-saudara (dan) sahabat-sahabat sekalian.
“Buat anak-anak ayah minta maaf sebab sangat kurang masa kita bersama. Harap anak-anak ayah faham kerja dakwah ayah,” tulisnya.
Sebelum ini, Mohd Kazim dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian selepas mengadu penat dan sakit dada ketika sedang berceramah di mana beliau kemudiannya menjalani rawatan jantung ’coronary angiography’.
Mohd Kazim kini sedang menerima rawatan lanjutan di Hospital KPJ Ipoh sejak Isnin lalu.
Beliau memberitahu ketika menerima serangan jantung di Kelantan, penceramah berusia 44 tahun ini merasakan itulah saat akhirnya di dunia ini dan beliau sudah pasrah sekiranya dijemput ALLAH SWT.
“Syukur ALLAH SWT mudahkan saya dengan sedikit ujian. Tiga saluran arteri saya tersumbat 99 peratus, 90 peratus dan ketiga 50 peratus. Ada dua lagi saluran arteri yg belum diletakkan ‘stent’. Angiogram akan dibuat selepas jantung saya stabil.
“Semalam sekitar jam 1 petang saya sangat tidak selesa, penat sangat-sangat dada pedih dan berdebar dengan kuat. Sampi saat ini saya masih tidak boleh bercakap dgn baik, tersekat dan mudah penat bila bercakap,” katanya.
The post ‘Anak-Anak…Ayah Minta Maaf Sebab Kurang Luang Masa’ – Ustaz Kazim appeared first on WOWBERITA.ORG.