Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digantung jawatannya sebagai Timbalan Presiden UMNO pada Jumaat berikrar akan terus bersuara biarpun tidak lagi memegang jawatan utama dalam parti dan kerajaan.
Dalam satu kenyataan media yang disiarkan menerusi akaun Facebook peribadinya, Muhyiddin menegaskan beliau akan terus bersuara untuk menegakkan kebenaran dan menuntut reformasi institusi yang lebih menyeluruh.
Ahli Parlimen Pagoh itu juga menegaskan keputusan Majlis Tertinggi UMNO itu telah dijangkakan dan ia bukan sesuatu yang mengejutkan.
“Saya akan terus bersuara untuk menegakkan kebenaran dan menuntut reformasi institusi (institutional reform) yang lebih menyeluruh.
“Kuasa Perdana Menteri untuk menasihati Yang Di-Pertuan Agong dalam pelantikan dan pelucutan jawatan Peguam Negara mesti dihadkan,” katanya.
Muhyiddin juga menegaskan beliau tidak berduka dengan apa yang berlaku dan tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan MT UMNO menggantung jawatan beliau biarpun tidak diberi peluang untuk membela diri.
Ujar beliau, MT UMNO lebih mementingkan soal teknikal dalam mengambil tindakan terhadap dirinya daripada meneliti kandungan ucapan yang disampaikan.
“Malah MT juga tidak mengikut prosedur tatatertib. Saya tidak diberikan surat tunjuk sebab dan tempoh masa untuk membela diri. Saya tidak dihadapkan ke Lembaga Disiplin untuk membolehkan lembaga membuat perakuan kepada MT.
“Ahli biasa pun diberikan peluang untuk membela diri sedangkan saya terus dihukum,” katanya lagi.
Muhyiddin juga mendakwa pada peringkat awal, beberapa pemimpin utama UMNO datang menemuinya dan meminta beliau melakukan sesuatu untuk memperbetulkan keadaan.
“Apabila saya mula bersuara, orang-orang yang sebelumnya datang menemui saya mula menjauhkan diri daripada saya.
“Hari ini, orang-orang inilah yang paling lantang mengecam saya,” ujar beliau.
Muhyiddin turut menghargai mereka yang menyatakan sokongan untuk terus berjuang bersamanya.
The post Gantung Jawatan: ‘Saya Akan Terus Bersuara’ – Muhyiddin appeared first on WOWBERITA.ORG.