Quantcast
Channel: Wowberita
Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997

Guru Cekik, Pijak Murid Tahun 5 Kerana Ubah Suai Basikal

$
0
0

Seorang murid Tahun Lima dalam trauma selepas mendakwa dicekik dan dipijak seorang guru sehingga cedera dan lebam di leher dan kaki dalam kejadian di sebuah sekolah Rabu lalu.

Khairul Najwan Jamsari, 11, mendakwa guru di sebuah sekolah di Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah itu memukulnya kerana membawa basikal yang diubahsuai ke sekolah.

“Saya sampai ke sekolah pada jam 7.45 pagi bersama seorang rakan. Guru terbabit yang berada di dalam kawasan sekolah kemudiannya menahan kami berdua dan memarahi kami.

“Ketika itu, dia tiba-tiba mencekik leher saya dan menolak saya ke lantai sebelum bertindak memijak kaki saya sehingga lebam,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ibu mangsa, Hanisah Seman, 36, berkata dia kesal dengan tindakan guru lelaki terbabit dan menyifatkan hukuman itu sebagai keterlaluan.

“Ketika kejadian, kawan saya yang kebetulan berada di situ menyaksikan perbuatan guru terbabit.

“Dia memberitahu, beberapa guru yang berada di lokasi kejadian cuba menghentikan perbuatan guru itu, namun tidak diendahkan sehingga anak lelaki saya melarikan diri keluar dari kawasan sekolah,” katanya.

Hanisah berkata, guru berkenaan kemudian mengejar Khairul Najwan bersama pengawal keselamatan dan membawanya pulang semula ke sekolah.

“Guru itu memberinya makan dan menyerahkan wang sebanyak RM2 dengan syarat anak saya tidak memberitahu kejadian itu kepada kami.

“Anak saya yang sedang menanggung sakit itu juga terpaksa untuk meneruskan sesi persekolahan sehingga tamat tanpa menerima rawatan awal oleh pihak sekolah,” katanya.

Hanisah kemudian membawa Khairul Najwan menjalani pemeriksaan di Hospital Sultan Abdul Halim sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan pihaknya sedang melakukan siasatan.

“Laporan polis diterima pada Khamis lalu dan kita masih lagi menyiasat kejadian sebenar. Kita juga mungkin akan memanggil guru terbabit untuk membantu siasatan,” katanya.

The post Guru Cekik, Pijak Murid Tahun 5 Kerana Ubah Suai Basikal appeared first on WOWBERITA.ORG.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997