Selepas dua tahun mendirikan rumah tangga, penyanyi Misha Omar atau nama sebenarnya Samihah Omar, 34, kini hamil anak sulung.
Tidak mahu mendedahkan usia kehamilan, Misha bersyukur kerana dirinya tidak mengalami alahan yang teruk.
“Sejujurnya, tidak banyak perkara yang dapat dikongsi kerana semuanya masih terlalu baru. Saya bersyukur kerana pada usia awal kehamilan ini, saya tidak mengalami alahan teruk malah setiap urusan kerja berjalan dengan lancar,” kata Misha kepada BH Online.
Tambah Misha, suaminya merupakan insan yang paling gembira apabila mendapat perkhabaran yang dirinya kini sedang hamil.
“Suami saya gembira dan terharu. Dia begitu mengambil berat dan memberikan layanan istimewa. Ianya membuatkan saya rasa dihargai.
“Saya rasa sangat terharu. Permulaan tahun 2016 ini membawa pelbagai memori manis dalam hidup saya. Saya berdoa agar diberikan Allah kesihatan yang baik supaya dapat melalui momen ini dengan indah,” katanya lagi.
Misha mendirikan rumah tangga dengan juruterbang, Firos Ezzwan Rosly pada 2 Mei 2014 di Hotel Renaissance, Kota Bharu, Kelantan. Sebelum ini, Misha mempunyai dua orang anak angkat, Muhammad Adam Emir, 10, dan Humaira Lateefa, 4.
The post Misha Omar Sah Hamil Anak Sulung appeared first on WOWBERITA.ORG.