Juara Akademi Fantasia 2014 Firman Bansir kecewa apabila niat untuk membawa kedua ibu bapanya menunaikan umrah tidak tercapai akibat ditipu oleh wakil agensi syarikat terbabit.
Menurut Firman, seramai 55 jemaah terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam semalam (Jumaat) dan laporan polis telah pun dibuat di balai polis KLIA.
“Jemaah dijadualkan berlepas pada jam 8.45 malam dan sudah pasti kami ingin masuk awal untuk memudahkan keadaan.
“Tapi hal sebaliknya yang berlaku apabila kami diberitahu nama kesemua jemaah tidak berdaftar di dalam sistem. Mulai dari saat itu kami sedar yang kami telah ditipu oleh pihak berkenaan.
“Apabila kami bertanya kepada ‘runner’ yang ada bersama kami dia mula gelabah dan memberikan pelbagai alasan antaranya berkenaan dengan visa kami.
“Selepas tu, ketua rombongan kami terus mengambil tindakan dengan membuat laporan polis berhubung kes berkenaan.
“Kemudian kami mendapat tahu memang benar bahawa ‘runner’ dan wakil agensi berkenaan didapati bersubahat. Wakil agensi itu merupakan seorang wanita yang sedang mengandung dan kami semua tidak sangka dia sanggup melakukan perkara tersebut.
“Secara keseluruhan, kerugian yang dialami oleh 55 orang jemaah adalah sebanyak RM270,000,” katanya ketika dihubungi Astro Gempak pada Sabtu.
Ketika ditanya mengenai foto yang dimuatnaik di akaun Instagramnya berkenaan isu tersebut, Firman memberitahu ada segelintir pengikut Instagram yang mula naik angin dan menuduhnya sengaja ingin memburukkan nama syarikat berkenaan.
“Ya, saya ada muatnaik beberapa foto di IG kerana saya tidak mahu ada pihak lain yang terkena seperti saya tapi tak sangka sampai ada pula yang menuduh saya sengaja nak burukkan nama syarikat tersebut.
“Tidak terlintas langsung difikiran untuk burukkan sesiapa tapi memang benar wakil itu sendiri yang memberitahu kami bahawa dia adalah agen syarikat berkenaan.
“Sekiranya perkara itu tidak benar, maknanya dia menggunakan nama syarikat itu demi kepentingannya sendiri untuk menyeleweng duit jemaah umrah.
“Saya ada saksi dan ketua rombongan kami juga membuat laporan dengan menggunakan nama syarikat yang sama. Selain saya dan keluarga, Nubhan (AF6) juga ada bersama jemaah ketika kejadian berlaku.
“Tergamak wakil tersebut menipu berpuluh-puluh jemaah yang kebanyakan terdiri daripada orang tua. Kesian lihat mereka duduk menunggu dengan lama di KLIA dengan wajah sedih,” jelasnya.
Dalam pada itu, Firman juga memberitahu kes tersebut sudah hampir selesai dan wakil agesi umrah itu juga telah pun ditangkap oleh pihak polis pada Sabtu pagi.
Untuk rekod, Firman dan keluarga sepatutnya berangkat ke Mekah untuk menunaikan umrah pada hari yang sama jam 8.45 malam.
The post Ditipu Agensi, Hajat Ibu Bapa Firman AF2014 Tunai Umrah Tak Tercapai appeared first on WOWBERITA.ORG.