Wanita Islam di Sulawesi Tengah kini perlu berfikir dua kali sebelum berkongsi gambar “seksi” di laman sosial selepas Majlis Ulama Indonesia (MUI) di sini menyatakan perbuatan itu haram.
MUI, badan tertinggi Islam di republik tersebut, juga menyelar tindakan wanita Islam yang memuat gambar mereka, walaupun sudah berkeluarga atau mempunyai beberapa anak, lapor portal Merdeka.com.
“Tidak boleh menayang atau memuatnaik gambar-gambar yang bersifat negatif atau mengghairahkan orang lain, sehingga mendapat perhatian darpadai banyak orang terutamanya kaum Adam,” kata ketua MUI Kota Palu.
Profesor H Zainal Abidin juga dilaporkan hairan apabila wanita Islam bukan sahaja mendapat pujian daripada pihak lelaki, malah berterima kasih kerana dipuji.
“Bukankah ini aneh, menayang foto di Facebook yang mempertontonkan aurat, mendapat komen oleh para lelaki dengan sebutan ‘seksi’, perempuan tersebut malah mengucapkan terimah kasih,” katanya.
Menurutnya, wanita yang sudah berkeluarga cuma boleh bergaya atau berdandan untuk suaminya, dan bukan kepada orang awam di media sosial atau internet.
“Ibu-ibu juga ikut menayang foto-foto mereka di akaun Facebook masing-masing, kebanyakan foto yang dimuatnaik oleh mereka agar dipuji atau dilihat oleh orang banyak,” lapor portal agensi berita rasmi Antara pula.
“Mempamerkan aurat di dunia nyata atau dunia maya haram hukumnya. Bagi mereka para wanita yang telah berkeluarga janganlah membuat sensasi untuk mencari perhatian yang dapat merosak rumah tanggamu sendiri.”
Para ulama masih berbalah tentang aurat wanita, namun ramai menganggap bahawa aurat wanita di depan bukan muhrim adalah seluruh tubuh kecuali muka dan tangan.
The post Ulama Sulawesi Fatwa Wanita Haram Kongsi Gambar ‘Seksi’ appeared first on WOWBERITA.ORG.