Jika kakitangan benar-benar tidur sekurang-kurangnya tujuh jam setiap malam, majikan ini akan membayar US$500 (RM1,940) setahun.
Syarikat insurans Aetna percaya tidur yang cukup boleh meningkatkan produktiviti seseorang kakitangan pada keesokannya.
Maka ketua pegawai eksekutifnya Mark Bertolini sanggup membayar US$25 (RM97) setiap malam jika kakitangannya buktikan dapat lena 20 hari berturut-turut.
Syarikat di Amerika Syarikat ini mengguna peranti penjejak kecergasan Fitbit untuk memantau masa tidur kakitangan yang memilih program ganjaran ini.
Data yang diperolehi dinilai oleh pihak ketiga, lapor portal News.com.au di sini semalam.
Bercakap dalam program televisyen CNBC, Bertolini sangat percaya ada kaitan langsung antara tidur, kakitangan yang produktif dan keuntungan syarikat.
Menurutnya, kakitangannya menunjukkan peningkatan produktiviti tambahan 69 minit setiap bulan hasil kejayaan programnya menjaga kesihatan dan kesejahteraan mereka.
“Jika kita boleh buat … asas-asas niaga lebih baik dengan melabur pada kakitangan kita, ia akan dapat dilihat pada pendapatan syarikat,” katanya.
Bersetuju dengan langkah itu, Yayasan Kesihatan Tidur Australia berkata program Aetna boleh membantu satu daripada empat rakyat negara itu yang selalu terganggu waktu tidur mereka.
“Mereka ini hidup dalam ‘keadaan tidur terbatas’, mereka tidak boleh menunjukkan prestasi (kerja) yang sepatutnya,” kata ketuanya David Hillman kepada portal itu.
“Bertolini jelas sekali menyedari anda boleh ke pejabat dan boleh bertugas, tetapi tidak secara optimum.
“Apa yang kita mahu prestasi yang optimum, dan hanya tidur dapat memberikan prestasi itu.”
The post Majikan Bayar RM1,940 Jika Pekerja Tidur 7 Jam Sehari appeared first on WOWBERITA.ORG.