Pelacuran berkonsepkan mobile dengan modus operandi bertemu di satu lokasi dan bergerak ke lokasi lain dikesan menjadi pilihan kebanyakan lelaki untuk melanggan pelacur di bandar ini.
Menurut sumber pihak berkuasa tempatan (PBT), kegiatan tersebut tidak memerlukan premis tertentu kerana kedua-dua pihak iaitu pelacur dan pelanggan hanya berhubung menerusi telefon bimbit.
Katanya, pelanggan boleh menghubungi pelacur yang diinginkan dan mengambil mereka di sesuatu lokasi yang dijanjikan sebelum meneruskan urusan di tempat lain.
“Di bandar Kota Bharu, kita mengesan lima pelacur terdiri daripada wanita dan pondan didapati menjadikan Jalan Hamzah sebagai ‘terminal’ untuk pelanggan datang mengambil mereka dengan kereta seawal pukul 8 malam.
“Saya difahamkan perkhidmatan ditawarkan mereka serendah RM80. Dulu mereka sering dilihat beroperasi lewat malam tetapi kini diawalkan. Pukul 8 malam sudah mula bekerja,” katanya di sini hari ini.
Menurut sumber itu lagi, PBT tidak dapat mengambil tindakan ke atas pihak yang dipercayai melakukan kegiatan tidak bermoral tersebut kerana kekurangan bukti memandangkan mereka sentiasa bergerak dari satu tempat ke satu tempat.
“Golongan ini licik, lokasi mereka melakukan perbuatan maksiat tidak tetap dan keadaan ini menyukarkan pihak penguat kuasa agama bertindak.
“Projek mereka kita tidak tahu di mana, dalam kereta pun boleh, tepi pantai pun boleh,” katanya.
Tambahnya, sebuah lagi lokasi yang kini dipercayai mula menjadi tempat pertemuan pelacur dan pelanggan adalah Lembah Sireh.
“Bagi membanteras kegiatan tidak bermoral ini, kita memerlukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” katanya.
The post (Video) Pelacuran ‘Mobile’ Dikesan Di Kota Bharu appeared first on WOWBERITA.ORG.