Woo Nina Grace, 19, yang diislamkan Dr Zakir Naik tengah malam semalam, mengakui telah lama ingin memeluk Islam.
Namun, katanya, jawapan pendakwah itu membuatkannya lebih yakin bahawa Islam sebuah agama yang suci, lapor myMetro.
BACA: Gadis Kristian Masuk Islam Selepas Dengar Syarahan Dr Zakir
“Saya semakin tertarik dengan agama Islam dan kebetulan Dr Zakir berkunjung ke negeri ini yang mana membuatkan saya mahu hadir ke syarahannya kerana mahu bertanyakan beberapa soalan.
“Akhirnya, jawapan yang diberikan Dr Zakir membuatkan saya nekad untuk memeluk Islam dan tidak kisah dengan pandangan orang lain,” beliau dipetik sebagai berkata.
Woo semalam bertanya adakah beliau dikira tidak menghormati Islam apabila membaca al-Fatihah, Tiga Qul dan ayat Kursi.
Zakir kemudian bertanya sama ada beliau percaya pada satu tuhan dan kerasulan Nabi Muhammad, yang dijawabnya “ya”.
Beliau kemudian mengucap dua kalimah syahadah dengan dibimbing Zakir, di hadapan kira-kira 40,000 orang hadirin dalam ceramah itu.
Sementara itu, Woo berkata, kehidupan hariannya sebelum ini yang banyak bergaul dengan rakan Islam menjadi faktor agama Islam dekat dengannya.
“Saya bersyukur kerana Allah berikan hidayah kepada saya pada 12.05 tengah malam Jumaat yang menjadi penghulu segala hari,” katanya ketika dihubungi myMetro, di Chukai, hari ini.
Penuntut semester tiga Diploma Kejuruteraan Mekanikal Pelantar Minyak Kolej RANACO, di Chukai, Kemaman berkata, dia berasa seperti dilahirkan semula.
Sementara itu, Woo juga dilapor berminat menggunakan nama baru Nur Nina Farisha dan mahu menjadi Muslimah yang baik, termasuk memakai tudung.
Remaja itu, yang ibunya berasal dari Filipina dan bapanya dari Johor, dilapor mengakui mula mengkaji Islam ketika berusia 13 tahun.
Berdasarkan gambar dirakam media, Nina kelihatan dipakaikan tudung berwarna hijau oleh isteri menteri besar Terengganu, Toh Puan Halina Zakaria.
Gambar itu dikatakan dirakam selepas selesai sesi ceramah Zakir di sebuah bilik rehat di tempat acara itu.
The post ‘Jawapan Zakir Naik Buat Saya Nekad Masuk Islam’ – Nina Grace appeared first on WOWBERITA.ORG.