Quantcast
Channel: Wowberita
Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997

Jenazah ADUN Kuala Besut Selamat Dikebumi

$
0
0

Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Dr A. Rahman Mokhtar yang meninggal dunia akibat paru-paru berair pagi tadi selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Teluk Bayu petang ini.

Antara yang mengiringi jenazah ialah Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Anggota Parlimen Besut dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Turut hadir menziarahi jenazah ialah Timbalan Menteri Kewangan yang juga Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan dan pemimpin PAS Datuk Husam Musa.

Lebih 1,000 penduduk hadir menziarahi jenazah yang disembahyangkan di Masjid Teluk Bayu.

A. Rahman, 55, meninggal dunia jam 10.18 pagi tadi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu akibat kegagalan pernafasan selepas seminggu menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi hospital itu.

Beliau meninggalkan isteri Azizah N. Omar dan empat anak iaitu Mohd Zaihan, Mohd Razhan, Mohd Zaffuan dan Nurul Najihah.

Pada pilihan raya umum ke-13 bulan lepas, beliau mempertahankan kerusi DUN Kuala Besut yang dimenanginya sejak 2008 dengan majoriti 2,434 mengatasi calon PAS Napisah Ismail.

Allahyarham kemudian dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam barisan exco kerajaan negeri Barisan Nasional.

Incoming search terms:


Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997