Quantcast
Channel: Wowberita
Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997

Kerana Tamak, Unit PPR Disewa Kepada Warga Asing

$
0
0

Sikap tamak dan ingin mengaut keuntungan segera dilihat antara faktor menyebabkan ada sesetengah penyewa sanggup menyewakan kediaman mereka di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Projek Perumahan Awam (PA) kepada warga asing.

Difahamkan, penyewa terbabit menyewakan rumah yang disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada warga asing dengan kadar sewa antara RM300 hingga RM500 seorang sebulan.

Setiausaha Blok B PPR Intan Baiduri, Abdul Rahman Abdul Razak mengakui kehadiran warga asing di sekitar kediamannya adalah disebabkan mereka kini menetap di PPR itu.

Beliau yang telah mendiami PPR Intan Baiduri, di sini lebih lima tahun berkata bilangan warga asing yang berkeliaran di kawasan PPR itu kini semakin ramai, sehingga me­nim­bulkan­ rasa kurang senang penyewa lain.

Beliau menyifatkan tindakan penyewa menyewakan unit PPR kepada warga asing adalah tidak adil dan tamak.

Ini kerana, bagi Abdul Rahman, ramai lagi golongan yang susah yang memerlukan rumah di kawasan ibu kota sedang menanti giliran mereka.

“Ada ke patut kerajaan bantu kita, kita ambil kesempatan ini, untuk cari duit… mereka ini untung atas angin jer, sewa baru RM124 tetapi sewakan dekat orang asing sampai RM1,000 seunit,” katanya.

Sementara itu, Hidayah Mohammad, 29, yang menetap di PPR Kampung Baru Air Panas, di sini berpendapat bahawa mereka yang sanggup menyewakan unit kepada orang lain sebenarnya tidak layak menerima unit terbabit.

Bagi Hidayah, sudah pasti unit yang disewa itu tidak diduduki oleh penyewa asal sebaliknya mempunyai kediaman lain.

“Kalau unit dia orang pun dia orang dah sewa, mesti dia orang dah ada rumah lain, tak kan dia orang nak duduk dekat rumah yang disewa warga asing.

“Kemudahan untuk rakyat Malaysia bukan untuk warga asing, semua ini sebab sifat tamak,” katanya.

Seorang lagi penghuni Sofian Said, 44, yang menetap di PPR Intan Baiduri menyeru agar pihak DBKL memperbanyakkan operasi menjejak unit rumah yang telah disewa kepada warga asing dan merampas kembali unit itu untuk diserahkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Projek-projek perumahan itu yang tujuan asalnya untuk menyediakan kediaman bagi rakyat yang kurang berkemampuan di tengah-tengah­ kepesatan pembangunan ibu negara, adalah selari dengan slogan 1Malaysia, ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

PPR dan PA yang dikendalikan DBKL itu disewakan pada kadar serendah RM94 sehingga RM124 sebulan yang merupakan antara yang termurah di Kuala Lumpur.

Selain itu pelbagai kemudahan turut disediakan termasuk surau, dewan serba guna, gelanggang futsal, Klinik 1Malaysia, taman permainan kanak-kanak dan sebagainya untuk keselesaan penghuni.

The post Kerana Tamak, Unit PPR Disewa Kepada Warga Asing appeared first on WOWBERITA.ORG.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997