Pemangku Sultan Johor, DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim berkenan melawat seorang pesakit jantung berlubang kronik, Mohd Fikri Hakim, 15, di rumahnya hari ini.
Baginda tuanku yang selesai majlis rasmi di Johor Bahru terus bergerak ke rumah Mohd Fikri atau Acan di Taman Bahagia, Bukit Pasir, Muar yang dikatakan ingin sangat berjumpa dengan Tunku Ismail.
Kehadiran Tunku Ismail ternyata membawa khabar gembira apabila Tunku menyatakan kesudiannya untuk menaja Acan mendapatkan rawatan di mana-mana sahaja di dunia ini untuk menyembuhkan penyakitnya.
Menurut seorang sukarelawan, Puan Natipah Abu yang ada bersama dalam majlis tersebut berkata, kahadiran TMJ ke rumah Acan memberikan harapan baru kepadanya.
“Semasa Tunku mengumumkan kesediaannya menaja Acan berubat, keluarga Acan dan para sukarelawan mengalirkan air mata syukur dan gembira,” katanya.
Dalam pertemuan itu, Tunku mengurniakan jersi JDT yang tertera nama Acan 01 yang turut ditandatangani oleh pemain JDT.
Menurut Puan Natipah lagi, esok Acan akan dibawa untuk berjumpa dengan doktor peribadi TMJ sebelum membuat keputusan ke mana tempat yang akan ditujui di dunia untuk merawat penyakit Acan.
The post ‘Acan Akan Dihantar Ke Mana Saja Di Dunia Ini Untuk Dirawat’ – TMJ appeared first on WOWBERITA.ORG.