Seorang orang kurang upaya (OKU) yang kisahnya pernah menarik perhatian ramai kerana dijaga ibunya, Meliah Mat Diah atau lebih dikenali sebagai Tok Meliah, 101, meninggal dunia pada pagi Jumaat.
Abd. Rahman Saud, 64, yang tidak boleh bercakap, berjalan dan bergerak secara normal sejak lahir akibat sawan menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 5.30 pagi di rumah sepupunya di Kampung Naka Nambua, di sini.
Menurut sepupu yang menjaganya selepas kematian Tok Meliah, Siti Jaleha Junus, 60, Abd. Rahman menghembuskan nafas terakhir kerana sakit tua.
“Sejak tiga hari lalu, arwah kurang sihat kerana mengalami demam, batuk dan selsema. Walaupun dia kelihatan lemah tetapi masih berselera ketika setiap kali disuapkan makanan.
“Selain itu, tidak pula dia menunjukkan lain-lain tanda sebelum pergi. Dia ‘pergi’ dengan mudah tanpa menyusahkan sesiapa. Ketika saya mengejut dia pada pagi ini untuk memberinya minum, dia membuka mata.
“Tapi secara perlahan-lahan, dia menutup matanya semula. Bila dipanggil lagi sekali, dia sudah tidak menyahut,” katanya ketika ditemui dirumahnya di sini hari ini.
Kisah ketabahan Meliah yang berusia lebih 100 tahun menjaga anak tunggalnya yang merupakan OKU mula mendapat perhatian masyarakat apabila kisah mereka tersiar dalam Utusan Malaysia pada Februari 2014.
Sebelum meninggal dunia pada 7 Ogos lalu kerana sakit tua, Tok Meliah telah mengamanahkan anak buahnya, Siti Jaleha dan suaminya, Abd. Rahman Said, 61, untuk menjaga Abd. Rahman.
Menurut Siti Jaleha lagi, sebelum ini juga, Allahyarham Abd. Rahman tidak menunjukkan sebarang tanda mengingati arwah ibunya.
Bagaimanapun, kata Siti Jaleha, pada hari Rabu lalu, Abd. Rahman ada beberapa kali menyebut nama Allahyarham Tok Meliah.
“Sejak arwah ibunya meninggal kira-kira lapan bulan lalu, dia sama sekali tidak pernah menyebut tentang ibunya. Kita memang tidak tahu apa yang difikirkannya.
“Tapi dua hari lalu, dia ada menyebut perkataan mak dua kali. Tapi apabila kami menghampirinya, dia hanya mendiamkan diri. Mungkin dia ada ‘ternampak’ ibunya,” ujarnya.
Jenazah Abd. Rahman dikebumikan selepas solat Jumaat di Tanah Perkuburan Islam Masjid Naka Nambua.
The post Anak OKU Tok Meliah Meninggal Dunia Di Pagi Jumaat appeared first on WOWBERITA.ORG.