Ratusan penduduk yang tinggal di sempadan Malaysia-Thailand menjadikan Sungai Golok sebagai tempat beriadah dan bermandi mandi berikutan cuaca panas melampau melanda negara ketika ini.
Tinjauan di sungai berkenaan di Kampung Pengkalan Klinik di sini mendapati selain ‘berpesta air’, mereka turut mencari ‘etak’, sejenis kerang sungai di Sungai Golok menggunakan tudung saji atau baldi.
Sungai berkenaan yang menjadi sempadan antara Malaysia-Thailand itu kini surut mendadak sehingga kelihatan beting pasir di tengah-tengahnya.
Penduduk dari luar Pasir Mas dan beberapa kampung dari selatan Thailand turut mengambil kesempatan untuk berkelah bersama keluarga di kawasan tersebut.
Seorang penduduk Nik Osman Nik Soh, 36, berkata ini merupakan kali pertama paras Sungai Golok menyusut sehingga ke paras buku lali sejak tinggal di kampung tersebut lebih 30 tahun lepas.
“Sungai di kawasan kampung ini mula menjadi tumpuan orang sejak bulan lepas kerana paras airnya yang cetek. Mereka datang untuk mandi-manda dan beriadah bersama keluarga,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Sofian Sautar, 36, berkata penyusutan paras air Sungai Golok tersebut memberi limpahan rezeki kepadanya yang menjual pelbagai kudapan dan minuman ringan kepada pengunjung yang datang beriadah.
“Saya membuka sebuah gerai kecil menjual makanan dan minuman ringan kepada pengunjung dan mampu memperoleh sebanyak RM200 dan RM300 sehari.
Seorang pengunjung, Fadhilah Hasni Hassan, 31, yang berasal dari Kampung Sat, Tanah Merah kira-kira 60 kilometer dari pekan Rantau Panjang berkata dia turut teruja ke kawasan itu apabila melihat gambar mereka yang beriadah di situ menerusi laman sosial Facebooknya.
Beliau yang berkunjung ke kawasan itu bersama keluarganya berkata ia merupakan pengalaman pertamanya dapat mandi-manda di sungai berkenaan.
The post (9 Gambar) Ratusan Penduduk Sempadan Malaysia-Thai Berpesta Air Di Sungai Golok appeared first on WOWBERITA.ORG.