Dua pemimpin Umno Pulau Pinang berhadapan hukuman penjara selama 20 tahun selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini atas tiga pertuduhan berkaitan rasuah.
Mereka adalah Bendahari Umno Bahagian Permatang Pauh, Nor Azamuddin Ahmad dan Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Permatang Pauh, Farid Idris Khan.
Masing-masing dihadapkan ke mahkamah untuk sebutan semula kes selepas diikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin pada 9 Mac lalu.
Nor Azamuddin yang hadir mengenakan baju kemeja bercorak petak dan Farid memakai baju kemeja berwarna kelabu kelihatan tenang ketika berada dalam kamar mahkamah.
Bagaimanapun, pengamal media yang membuat liputan kes dimarahi dan diberi amaran oleh mereka agar tidak merakam gambar ketika di luar mahkamah.
Mereka kemudian cuba menyembunyikan diri di satu sudut selama beberapa minit untuk mengelak gambar dirakam.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Persiaran KTC 4/3, Kulim Techno City Golf View, Kulim Hi-Tech Park, Kulim, pada 2014.
Nor Azamudin Ahmad didakwa melakukan kesalahan pertama pada 4 Mei 2014 dengan menerima suapan wang tunai RM45,000 daripada seorang ahli perniagaan bergelar Datuk sebagai dorongan mendapatkan kuota beras Standard Tempatan dengan 15 peratus hancur (ST15) sebanyak 100 tan metrik untuk perniagaan sebuah syarikat bagi bulan Mei dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Nor Azamuddin didakwa menerima rasuah masing-masing berjumlah RM45,000 daripada individu sama sebagai dorongan mendapatkan bekalan beras ST15 sebanyak 100 tan metrik pada 6 Jun dan 2 Julai 2014.
Nor Azamuddin dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama.
Sementara itu, Farid dituduh bersubahat dengan Nor Azamuddin yang menerima suapan RM45,000 daripada individu sama pada 4 Mei 2014 sebagai upah untuk mendapatkan kuota beras ST15 sebanyak 100 tan metrik.
Farid didakwa mengulangi kesalahan itu pada 6 Jun dan 2 Julai di lokasi sama.
Kes disebut mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang dibaca bersama Seksyen 28 Akta yang sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama.
Bagi kesalahan itu, masing-masing boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya SPRM, A Hafizh Abu Bakar manakala kedua-duanya diwakili peguam, Ang Chun Pun.
Hakim, Zanol Rashid Hussain menetapkan 2 Jun untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.
The post Rasuah: Dua Pemimpin Umno Berdepan Hukuman Penjara 20 Tahun appeared first on WOWBERITA.ORG.