Quantcast
Channel: Wowberita
Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997

Hampir Satu Pertiga Kanak-Kanak, Remaja Di Malaysia Gemuk

$
0
0

Hampir 30 peratus kanak-kanak dan remaja negara ini yang berusia dari enam hingga 17 tahun mengalami masalah berat badan berlebihan dan obesiti, kata Persatuan Pemakanan Malaysia.

Presidennya Dr Tee E Siong berkata, kajian melibatkan 8,705 pelajar sekolah menengah dan rendah mendapati lebih ramai pelajar lelaki yang gemuk (32.9 peratus) berbanding pelajar perempuan (24.7 peratus).

“Masalah pemakanan kanak-kanak dalam kalangan pelajar sekolah amat besar dan kami menganggap kadar ini amat teruk,” katanya dipetik laporan Kosmo! hari ini.

“Masalah ini perlu diatasi ketika mereka masih kanak-kanak kerana apabila mencecah usia 25 tahun, ia akan kekal pada mereka,” tambahnya, merujuk kepada masalah kegemukan.

Katanya, kajian juga mendapati seorang daripada empat kanak-kanak tidak mengambil sarapan pagi, berpunca daripada sikap ibu bapa yang tidak prihatin atas alasan sibuk bekerja.

“Mereka biarkan anak mereka makan apa saja yang disukai di kantin manakala di rumah, mereka pula tidak ada masa untuk menyediakan diet yang tepat.

“Tidak kurang juga yang serahkan kepada datuk, nenek atau orang gaji untuk memberi makan kepada anak,” katanya.

Jadual yang padat dengan sesi persekolahan dan kelas tambahan juga menyebabkan kanak-kanak tidak ada masa untuk bersukan, katanya.

“Ibu bapa dan penjaga harus meluangkan masa bagi menyediakan makanan seimbang untuk anak serta mendidik mereka mengamalkan diet dan cara hidup yang sihat,” katanya.

Pada bulan Januari, Kementerian Kesihatan mendedahkan separuh daripada rakyat Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti.

The post Hampir Satu Pertiga Kanak-Kanak, Remaja Di Malaysia Gemuk appeared first on WOWBERITA.ORG.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997