Pelakon Hafidz Roshdi memaafkan pengikut laman sosial yang melemparkan kata-kata kesat terhadap isterinya Nurul Shuhada Mat Shukri dalam sebuah foto perkahwinan mereka yang dimuat naik di laman sosial Instagram.
Hafidz atau nama sebenarnya Mumammad Hafidz Roshdi, 22, berkata, dia dan isterinya menerima perkara tersebut dengan terbuka dan menganggap ia mengajar mereka cara untuk lebih bersabar.
“Apa yang penting saya dan isteri bahagia dan bagi mereka yang menghina wajah isteri saya, dia (Nurul Shuhada) menyampaikan salam dan mengucapkan terima kasih atas hinaan tersebut.
“Dia juga tidak terasa hati dan memaafkan siapa yang tidak berpuas hati dengannya, secara tidak langsung perkara ini juga mengajar erti kesabaran kepada kami,” ujarnya.
Hafidz diminta mengulas tentang komen-komen negatif yang dilemparkan oleh pengikut Instagramnya yang tidak berpuas hati dengan berita perkahwinan pelakon itu pada Sabtu lalu.
Komen negatif dan biadap ditulis oleh beberapa individu tidak bertanggungjawab menghina wajah isteri pelakon berkenaan dan mendoakan perkara buruk kepada rumah tangga tersebut.
Hafiz sah bergelar suami pada 30 April lalu di kediaman wanita tersebut di Perlis.
Selain itu, beberapa rakan artis seperti Emma Maembong, Kamal Adli, Saharul Ridzwan dan Micheal Ang turut berbalah dan menegur netizen atas sikap biadap terhadap isteri pelakon itu.
“Saya berterima kasih kepada rakan artis yang prihatin dan cuba membela saya apabila dikutuk oleh pengguna laman sosial. Tidak apalah, mereka yang kutuk itu beri pahala percuma sahaja pada saya dan isteri,” ujarnya.
Dalam pada itu, mengulas tentang perkahwinan yang dikatakan mengejut itu, Hafidz berkata, keluarganya sememangnya merancang untuk melaksanankan majlis secara sederhana.
Katanya, dia bakal mengundang pihak media dan rakan-rakan pada majlis di pihak lelaki yang bakal berlangsung pada Ogos atau September depan.
“Kami memang buat sederhana atas permintaan keluarga dan Insya-Allah nanti di majlis belah lelaki saya akan jemput semua rakan-rakan dan media,” ujarnya.
The post Hafiz Roshdi Maafkan Netizen Hina Wajah Isterinya appeared first on WOWBERITA.ORG.