Penyanyi dan pelakon terkenal, Awie hari ini mengaku bersalah menyebabkan kecederaan bekas isterinya, Rozana Misbun dalam satu insiden dua tahun lalu.
Awie, nama popular Ahmad Azhar Othman, membuat pengakuan itu di depan hakim Mahkamah Majistret Husna Dzulkifly di sebuah sini.
Vokalis kugiran rock Wings itu didenda RM2,000, dan diperintahkan menjalani hukuman penjara selama dua bulan jika gagal membayar denda, lapor portal Sinar Harian.
Prosiding awalnya ditetapkan untuk perbicaraan, namun Awie memilih untuk menukar pengakuan kepada bersalah setelah pertuduhan pindaan dibacakan.
Awie, 48, pada 15 Februari lalu, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap bekas isterinya, Rozana Misbun, 38, di kaunter PNB Jalan Tun Razak, di sini pada jam 3 petang, 2 Jun 2014.
Bapa kepada lima anak itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda RM4,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 7 Mac lepas, Mahkamah Majistret Ampang melepas dan membebaskan Awie daripada pertuduhan mencederakan Rozana di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Klang selepas mereka bersetuju kes itu diselesaikan dengan cara membayar kompaun RM10,000 dan permohonan maaf secara terbuka daripada pihak Awie.
Namun, Rozana dilapor bertekad masih mahu menuntut ganti rugi daripada Awie terhadap hidungnya yang patah akibat dipukul, dan mengemukakan saman malu kerana memburukkan namanya kepada media.
Awie kemudiannya memohon supaya kertas pertuduhan yang mendakwa dirinya memukul Rozana hingga cedera dikaji semula.
The post Awie Mengaku Cederakan Rozana, Didenda RM2,000 appeared first on WOWBERITA.ORG.