Seorang penerima Anugerah Naib Canselor (ANC) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis mendedahkan dia sanggup mengikat perut semata-mata hendak menyimpan wang supaya mempunyai duit untuk membeli buku tambahan.
Anis Najwa Abdul Wahab, 23, dari Keramat, Kuala Lumpur berkata dia sanggup menahan lapar dan hanya memakan nestum dua kali sehari sebagai ganti nasi.
“Syukur….segala usaha saya berhasil apabila dipilih antara 43 penerima ANC pada konvokesyen ke-84 UiTM Perlis,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu di Dewan Semarak UiTM di sini, hari ini.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Pengurusan Sumber Manusia itu memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.79 berkata dia ditawarkan biasiswa oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) setelah memperoleh PNGK 4.00 pada semester pertama.
Katanya beliau sentiasa berfikiran positif dan berusaha untuk mendapat anugerah dekan pada setiap semester sejak memulakan pengajian di situ.
“Saya sanggup menipu mak dan abah tentang keadaan saya (tidak cukup wang) dan hanya berkongsi cerita yang menyenangkan hati mereka sahaja kerana saya tidak mahu menyusahkan kedua ibu bapa saya.
“Mereka banyak berkorban untuk saya dan abang, Muhammad Farid, 24, yang mengikuti pengajian Sarjana di United Kingdom,” kata Anis Najwa, anak bongsu dua beradik kepada Bernama.
Beliau yang bertugas sebagai eksekutif di syarikat Great Eastern di Kuala Lumpur berkata dia bercadang menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang insurans.
Ibunya, Normaizan Kassim, 55, seorang pereka grafik di Utusan Melayu ketika ditemui pemberita menangis kegembiraan atas kejayaan anaknya itu.
“Saya dan suami Abdul Wahab Aziz, 60, bekas penyunting di Harian Metro tidak putus-putus berdoa untuk kejayaan anak kami. Hari ini baru saya tahu dia (Anis Najwa) rahsiakan kesusahannya, namun kami sangat-sangat bersyukur,” katanya.
Selain di UiTM Perlis, istiadat konvokesyen itu turut berlangsung di kampus induk UiTM Shah Alam, masing-masing dua di Melaka, Kelantan, Kedah serta Sabah dan Sarawak membabitkan penganugerahan ijazah dan diploma kepada 15,594 graduan.
The post Pelajar UiTM Ikat Perut Makan Nestum, Demi Beli Buku appeared first on WOWBERITA.ORG.