Sebuah gerai yang dikendalikan oleh seorang penduduk di Kampung Sungai Buaya dekat Taman Rekreasi Bukit Panchor, Nibong Tebal popular di kalangan penduduk tempatan dan pelawat kerana beberapa jenis makanannya dijual pada harga RM1 semangkuk.
Laksa dan hidangan berkuah lain, ais kacang dan pelbagai jenis minuman berkarbonat yang terdapat pada menu dan berharga RM1 itu hanya boleh diperolehi pelanggan apabila mereka berkunjung di Kedai Kak Na.
Makanan tersebut dihidangkan seperti biasa, tanpa bahan-bahannya dikurangkan.
Pemilik gerai, Mazlina Md Hashim, 32, berkata terdapat pelanggan yang memesan dua atau tiga mangkuk makanan untuk memenuhi selera mereka.
Mazlina berkata dia tidak mempunyai sebab untuk menaikkan harga kerana dia hanya mahu mendapat sedikit keuntungan daripada perniagaannya.
“Ramai pelanggan tanya saya kenapa saya jual makanan murah sangat ketika harga bahan-bahan mahal harganya.
“Jawapan saya sentiasa sama ‘supaya semua orang mampu’.
“Jika harga makanan murah, lebih banyak pelanggan akan datang. Jika mereka gembira, saya juga gembira,” katanya ketika ditemui di kedainya, Sabtu.
Mazlina berkata, dia berhenti kerja di kilang sembilan tahun lalu sebelum mengambil alih perniagaan ini daripada ibunya.
Gerainya, yang dibuka dari tengah hari hingga 3 petang kecuali hari Selasa dapat menarik ramai pelanggan, khususnya pelajar dari dua kolej berdekatan.
Terdapat juga lain-lain jenis makanan yang dijual dengan harga yang lebih mahal.
Antara pelanggan tetapnya adalah seorang pekerja kilang, Osman Mat Nayan, 29, yang datang untuk makan tengah hari dengan sekumpulan rakan-rakannya selepas bermain badminton.
“Kami datang ke sini setiap kali selepas perlawanan badminton mingguan. Makanannya bukan sahaja murah, malah sangat memuaskan. Kadang-kadang kami rasa harganya terlalu murah dibandingkan dengan hidangannya yang banyak.
“Sebagai contoh, ais kacangnya yang besar banyak bahan-bahan,” katanya.
The post Laksa, Ais Kacang Cuma Berharga RM1 Semangkuk appeared first on WOWBERITA.ORG.