Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun maut dilanggar perkhidmatan tren elektrik (ETS) ketika dia dipercayai cuba melintasi landasan itu di Kilometer 114, Kodiang ke Anak Bukit di sini, petang tadi.
Dalam kejadian berhampiran Megat Dewa kira-kira 4.30 petang itu, mangsa terseret sejauh beberapa meter akibat dilanggar tren berkenaan.
Pengurus Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Siti Badariah Wan hanafi berkata, pihaknya sudah menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Kita hanya menerima maklumat mengenai seseorang melintas trek secara haram kerana ada kesan pagar dipotong di kawasan kejadian.
“Berikutan itu, operasi ETS tergendala selama 30 minit untuk pemeriksaan dan laporan keselamatan sebelum dibenarkan bergerak semula seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Abd Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
“Selepas menerima laporan penemuan mayat di trek ETS, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kubang Pasu dikejarkan ke lokasi,” katanya.
The post (7 Gambar & Video) Padah Lintas Landasan, Remaja 16 Tahun Berkecai Dilanggar ETS appeared first on WOWBERITA.ORG.