Bukan sahaja terpedaya dengan iklan cari kerja malah tiga wanita turut dipukul dan dipaksa merakam gambar bogel di Fortune Perdana, Kepong di sini pada 8 Mei lalu.
Mereka yang berumur antara 28 hingga 33 tahun itu dikatakan memohon kerja yang diiklankan di dalam akhbar tempatan.
Malah, jika mendapat kerja menguruskan perniagaan online itu, mereka turut menikmati kemudahan tempat tinggal secara percuma.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munusamy berkata, kesemua mangsa berasal dari Ipoh, Perak dan Kepong itu kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian selepas beberapa hari diambil bekerja.
Sehubungan itu, ujarnya, dua individu yang dikenali sebagai Nikkie Tan dan Brenda Tan yang dipercayai majikan mangsa terbabit diminta tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan.
“Berdasarkan maklumat, kedua-dua suspek menjalankan perniagaan jual beli atas talian.
“Kita telah menjejaki kedua-dua suspek menerusi satu unit premis yang disewa, tetapi maklumat mendapati kad pengenalan yang digunakan suspek adalah palsu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Munusamy, mangsa mendakwa dipukul suspek selepas dituduh mencuri duit syarikat sebanyak RM18,000.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.
The post Tiga Wanita Diserang Secara Seksual, Video Bogel Dirakam appeared first on WOWBERITA.ORG.