Laporan Ketua Audit Negara tahun 2015 Siri 1 menyifatkan matlamat kerajaan untuk membantu mangsa banjir kembali kepada kehidupan asal dengan segera tidak dapat dicapai.
Hal ini berikutan kelewatan projek pembinaan rumah kekal baharu (RKB) yang dirancang atas faktor di luar kawalan.
“Seperti proses pengambilan tanah, halangan ke tapak projek dan sebagainya,” kata laporan itu.
Semakan Jabatan Audit Negara terhadap prestasi kewangan projek setakat 8 Januari 2016 mendapati sejumlah RM 75.95 juta (30.70%) bagi projek RKB dan baik kerja pembaikan rumah telah selesai dibelanjakan daripada RM246.73 juta yang diperuntukan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Laporan tersebut juga menyebut seramai 172,981 mangsa telah didaftarkan dalam sistem ePasca Banjir setakat 17 Januari 2016 dan Audit mendapati seramai 116 penerima bantuan dan 155 penerima bantuan pembaikan tidak didaftarkan.
Audit juga mendapati akibat kekangan bilangan pegawai agensi pelaksana bagi menjalankan proses pengesahan ke atas keseluruhan mangsa banjir di kawasan setempat, ada ketua isi rumah yang tidak mendapat bantuan.
“Seramai 21 ketua isi rumah mangsa banjir di Kuala Krai dan Gua Musang, Kelantan tidak mendapat bantuan RKB meskipun rumahnya musnah sepenuhnya akibat banjir.
“Lawatan Audit selanjutnya mendapati empat ketua isi rumah di Kuala Krai, satu di Tanah Merah dan Gua Musang tidak mendapat bantuan kerja pembaikan,” katanya.
Susulan itu, masih ada beberapa mangsa yang tinggal di dalam khemah atau mendiami rumah transit.
Ada juga rumah yang dibina tidak mengikut reka bentuk diluluskan berpunca daripada tindakan pemantauan dan pengesahan akhir kurang berkesan terhadap prestasi kerja kontraktor dilantik.
Sebanyak 171 daripada 422 projek EKB bagi semua agensi pelaksana telah mengalami kelewatan antara sebulan hingga tiga bulan.