Sejumlah 13,935 paket nasi dagang yang disusun sepanjang 2.58 kilometer, mencipta rekod di Terengganu hari ini dan menjadi kenangan manis peserta apabila dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBR).
Makanan yang menjadi simbol kegemaran rakyat Terengganu itu disusun secara zig zag berhampiran Sungai Terengganu sebelum diagihkan kepada orang ramai.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terlebih dahulu menandatangani sijil MBR untuk usaha ini yang diterima daripada ketua pegawai eksekutif MBR Datuk Michael Tie.
Ia kemudian diserahkan kepada ketua pegawai eksekutif Terengganu Incoprated Wan Zalizan Wan Jusoh.
Sementara itu penolong pengurus besar (penjualan & pemasaran) T-Kitchen, Rozeli Abdul Ghani, berkata kejayaan itu akan dijadikan pemangkin untuk mencipta rekod-rekod lain pada masa akan datang.
“T-Kitchen akan mencuba untuk mencipta rekod yang lain selepas ini, mungkin keropok lekor terpanjang. Senang untuk saya katakan ia akan melibatkan makanan tradisional negeri Terengganu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Program anjuran Terengganu Kitchen dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) parlimen Kuala Nerus dan Kolej Inforana itu berlangsung selama tiga jam bermula pukul 10 pagi.
Produk keluaran T-Kitchen itu telah dikomersialkan sejak tahun lepas hasil idea daripada Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman bagi membantu usahawan nasi dagang Terengganu memasarkannya dan tahan lama, antara enam bulan hingga setahun.