Seorang remaja maut, manakala rakannya cedera parah selepas motosikal jenis Honda EX-5 yang dinaiki mereka terbabas selepas bergesel dengan sebuah kereta sebelum dilanggar sebuah treler dari dalam satu kejadian di Bandar Klang di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.58 petang itu, mangsa yang juga pembonceng motosikal berusia 18 tahun maut ditempat kejadian selepas badannya digilis lori muatan besi apabila kenderaan berat itu gagal mengelak mangsa yang tercampak di lorong kiri jalan itu.
Manakala rakannya yang berusia 19 tahun yang juga penunggang motosikal terselamat dan hanya mengalami kecederaan dibeberapa bahagian badan.
Difahamkan ketika kejadian kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Shah Alam menghala ke Pelabuhan Klang dan treler terbabit juga dari arah sama.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Zaidi Ahtan berkata, sepasukan lapan anggota telah dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.58 petang dan tiba dilokasi lima minit kemudian.
Menurutnya, ketika kejadian, mangsa dari arah Shah Alam menuju ke Pelabuhan Klang telah bergesel dengan sebuah kereta sebelum motosikal mereka hilang kawalan dan menyebabkan seorang mangsa tercampak ke lorong kiri dan seorang lagi ke lorong kanan jalan dua lorong.