Saya tertonton satu video yang dikongsikan lebih 8K kali dalam tempoh 10 jam ia dimuatnaik dengan caption berikut :
“Slip dics dan tulang melengkung ****** Alhamdulillah dah berjaya betulkan empat disc tulang belakang.”
Video menunjukkan seorang perawat alternatif mengukur menggunakan pembaris, menandakan kedudukan tulang belakang, dan mengetuk tukul bagi membetulkan kedudukan tulang belakang. Selepas itu, ukuran dilakukan semula dan kononnya menunjukkan perubahan ketara pada ukuran.
Saya percaya video tersebut menunjukkan prosedur rawatan bagi penyakit slipped disc berdasarkan caption dan komen yang ada. Namun, disc dan tulang belakang adalah dua entiti berbeza.
Fahami dulu anatomi dan patologi slipped disc sebelum saya ulas bahagian video.
- Tulang belakang ‘dipegang’ antara satu sama lain dengan ligamen. Ia tidak mudah berubah kedudukan kecuali akibat trauma atau impak yang kuat seperti kemalangan berimpak tinggi. Kedudukan tulang belakang boleh dilihat melalui x-ray.
- Disc BUKAN tulang belakang. Spinal disc atau intervertebral disc terletak di antara dua tulang belakang. Spinal disc mempunyai nucleus di bahagian tengah yang memainkan peranan dalam penyakit slipped disc. Spinal disc tidak boleh dilihat melalui x-ray.
- Slipped disc juga dikenali sebagai herniated nucleus pulposus iaitu nucleus tertonjol keluar daripada tempat asal dalam spinal disc. Nucleus ini juga tidak boleh dilihat melalui x-ray.
- Bahagian yang tertonjol itu akan menekan saraf, dan inilah yang kebiasaannya menyebabkan rasa sakit pada bahagian belakang kaki. Bagi kes yang teruk, lumpuh bahagian bawah badan mungkin boleh berlaku.
- Diagnosis dibuat secara klinikal iaitu mengambil sejarah pesakit (sosiodemografi, simptom, faktor risiko, dan lain-lain) serta pemeriksaan fizikal.
- Simptom : Sciatica iaitu sakit “menangkap” di bahagian belakang peha hingga ke kaki +/- sakit belakang bahagian bawah (low back pain). Ia boleh juga terjadi tanpa apa-apa simptom.
- Kebiasaannya, kedudukan tulang belakang tidak terjejas dalam kes slipped disc. Maka, x-ray belakang adalah normal sahaja.
- Bagi mengesahkan diagnosis, MRI akan dilakukan untuk melihat kedudukan spinal disc.
- Majoriti sakit sciatica akibat daripada slipped disc akan berkurangan dalam tempoh 6 minggu. Rehabilitasi termasuk fisioterapi bagi menguatkan otot perlu dilakukan. Bagi kes yang sangat teruk (severe), pembedahan mungkin akan ditawarkan walaupun berisiko kerana dalam kes teruk, “benefit outweigh the risk”.
Baca tentang slipped disc hingga faham, kemudian mari baca ulasan berkaitan video pula.
- Slipped disc tidak melibatkan abnormaliti pada kedudukan tulang belakang. Mohon pencerahan apa perlunya ukuran dan ketukan bagi membetulkan kedudukan tulang belakang?
- Ukuran yang dibuat kelihatan tidak tepat kerana tiada titik rujukan yang konsisten. Kelihatan dalam video pembaris diletakkan secara tidak konsisten menyebabkan ketidaktepatan pengukuran. Dalam perubatan, setiap pengukuran ada titik rujukan berdasarkan anatomi permukaan tubuh agar setiap ukuran adalah konsisten walaupun pada masa berbeza dan boleh dibandingkan dengan orang lain. Mohon pencerahan apakah titik rujukan yang digunakan.
- Ukuran juga mungkin tidak tepat kerana pembacaan poin pada pembaris tidak dilakukan pada eye-level yang boleh menyebabkan ralat. Pembacaan pada eye-level adalah topik sains semasa di sekolah.
- Slipped disc diakibatkan oleh tonjolan nucleus yang menyebabkan sakit sciatica. Jika tersilap ketuk, ia mungkin boleh menyebabkan keadaan lebih teruk sehingga pecah tulang belakang dan merosakkan fungsi saraf tunjang yang mengakibatkan lumpuh. “The risk outweigh the benefit”. Mohon pencerahan apakah yang akan dilakukan jika komplikasi ini berlaku ketika prosedur tersebut dilakukan.
Saya faham pesakit slipped disc ingin sembuh daripada penyakit. Namun, dapatkan rawatan daripada perawat bertauliah. Bagi rawatan alternatif, pastikan berdaftar dengan TCM KKM agar ia dapat dikawalselia dan mengikut tatacara yang digariskan.
Hilang sakit bukanlah bermakna slipped disc sudah sembuh. Jika mahu tahu keberkesanannya, lakukan MRI sebelum rawatan dan ulang MRI serta merta selepas rawatan. Masa itu barulah boleh tahu sama ada ia benar-benar berkesan secara realiti atau hanyalah fantasi.
Masyarakat kena tahu apa itu slipped disc dan elakkan rawatan yang tidak dibuktikan secara klinilal malah berpotensi menyebabkan kebahayaan, Oleh itu tolong viralkan info ini dengan meluas. Terima kasih.