Dungun – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman akan menghadiahkan nombor pendaftaran kenderaan TN50 kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.
Beliau berkata, nombor pendaftaran kenderaan terbabit adalah sebagai menghargai cetusan idea Perdana Menteri berhubung Transformasi Nasional 2050 (TN50).
“Nombor pendaftaran itu adalah kepunyaan saya dan jika anda mencari pemilik TN50 ini di laman web Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), anda akan menemui nama Ahmad Razif Abd Rahman.
“Sebagai menghargai cetusan idea Perdana Menteri itu, saya akan menghadiahkan nombor TN50 kepada Perdana Menteri, ” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Dialog TN50 Peringkat Zon Timur di Dewan Aspirasi Universiti Teknologi Mara UiTM Kampus Dungun, malam ini.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin hadir sebagai ahli panel dialog terbabit.