Quantcast
Channel: Wowberita
Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997

Lepas hampir 9 jam di SPRM, esok Zahid datang lagi

$
0
0

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selesai memberi penjelasan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas hampir sembilan jam berada di dalam bangunan agensi penguat kuasa terbabit hari ini.

Bercakap kepada media selepas itu Ahmad Zahid berkata SPRM hanya merekodkan keterangan beliau berhubung pertemuannya dengan anggota keluarga diraja Arab Saudi yang didakwa menderma sejumlah besar wang kepada Datuk Seri Najib Razak.

Untuk rekod bekas timbalan perdana menteri itu tiba di bangunan Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya kira-kira jam 9.50 pagi tadi ditemani seorang pengawal.

Beliau kelihatan begitu yakin dan ceria, selain sempat melambai-lambai ke arah wartawan yang berkumpul untuk membuat liputan mengenai kedatangannya.

Tiada peguam dilihat menyertai pertemuan berkenaan. Beliau kemudian keluar dari bangunan itu kira-kira jam 6.30 petang.

Bercakap kepada media, Ahmad Zahid yang baru saja disahkan sebagai pengganti Najib bagi mengepalai Umno berkata pegawai SPRM menjalankan tugas mereka secara profesional.

Katanya pegawai penyiasat juga memberikan ruang kepada beliau untuk memberikan penjelasan berhubung isu yang dibangkitkan.

“Saya amat yakin isu-isu yang berkaitan dengan menyebabkan persepsi negatif kepada masyarakat akan dapat dirungkaikan di SPRM pada waktu yang mereka akan tentukan,” katanya.

Anggota parlimen Bagan Datuk itu dijangka kembali sekali lagi ke SPRM esok.

Kali ini Ahmad Zahid akan diambil keterangan berhubung tuduhan beliau menyalahgunakan dana sebuah badan – dikenali sebagai Yayasan Akal Budi – yang dimiliki keluarganya.

Sementara itu ditanya secara khusus siapakah individu yang didakwa ditemuinya berhubung dana disalurkan kepada Najib, Ahmad Zahid enggan memberi penjelasan.

“Saya tidak bertanggungjawab memberikan jawapan kepada kamu. Saya hanya bertanggungjawab untuk menjawab kepada SPRM,” katanya.

Zahid adalah antara tokoh yang gigih membela Najib ketika anak bekas perdana menteri itu berdepan dengan isu skandal 1MDB.

Pada 2015 misalnya Zahid mendakwa beliau bertemu seorang ketua pegawai pelaburan serta pemegang amanah satu keluarga bangsawan Arab Saudi.

Individu itu katanya adalah orang yang bertanggungjawab menyerahkan dana bernilai RM2.6 bilion kepada Najib.

Wang yang dimasukkan ke akaun persendirian Najib itu ditegaskan adalah derma.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997