Mayat bayi perempuan yang cukup sifat serta masih bertali pusat ditemui oleh jemaah Masjid Jamek Ar-Raudah Saleng di Kulaijaya, pagi tadi.
Ahli jawatankuasa masjid, Hassan Mohd Dap, 63, berkata, dalam kejadian jam 6 pagi, dia serta beberapa jemaah mahu pulang ke kediaman masing-masing selepas menunaikan solat Subuh.
Menurutnya, beberapa jemaah kemudian memaklumkan ada beg bayi ditinggal di depan pintu pagar masjid berkenaan.
“Bersama bayi berkenaan, kami juga menemui wang tunai RM50 selain surat tercatat ‘Assalamualaikum tolong sempurnakan jenazah ini yang tidak berdosa. Sekian terima kasih untuk hamba yang menolong’,” katanya.
Katanya, dia kemudiannya menghubungi polis bagi memaklumkan penemuan itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya Superintendan Zulkefly Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan daripada jemaah masjid berkenaan pada jam 6.05 pagi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, seorang bayi yang sudah meninggal dunia dibungkus dengan kain putih dan ditinggalkan di dalam beg bayi di depan pagar masjid berkenaan.
“Kami masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti sama ada kes ini mempunyai unsur jenayah.
“Mayat bayi berkenaan dihantar ke Hospital Kulaijaya untuk dibedah siasat. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan identiti ibu bapa kepada bayi berkenaan diminta tampil membantu siasatan,” katanya.