SEREMBAN – Tindakan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menghentikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) mendapat pelbagai reaksi lapisan masyarakat.
Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Profesor Dr Nasrudin Mohamed berkata, BR1M bukanlah satu bentuk keselamatan sosial untuk rakyat, sebaliknya ia suatu insentif atau ganjaran khas yang bertujuan untuk melegakan penerima atas dasar goodwill, atau mahabbah, untuk menjalin keterangkuman kerajaan dengan rakyat.
Katanya, dengan kata lain, BR1M ini adalah suatu bentuk keistimewaan sahaja, boleh ditiadakan pada bila-bila masa dirasakan perlu.
“Cadangan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) untuk menghentikan BR1M menunjukkan prinsip yang konsisten yang diamalkan oleh beliau sejak sekian lama ini.
“PM bukanlah seorang pemimpin yang bercondongkan kepemimpinan transaksional, iaitu kepeimpinan yang mengaitkan elemen-elemen ganjaran, sebagai timbal balik hubungan antara pemimpin dan pengikut.
“Mahathir adalah pemimpin transformasi, beliau membangun tanpa berpaksikan ganjaran material atau kewangan secara konkrit, sebaliknya kefalsafahan kepemimpinan beliau ditegakkan atas elemen kualiti manusia yang positif dan murni,” katanya.
Katanya, jika Mahathir bertindak menghentikan BR1M, itu adalah kelangsungan corak kepemimpinan Mahathir yang tetap tidak berubah sejak pentadbiran beliau pada 1981.
Tambahnya, rakyat terutamanya penerima BR1M, perlu menerima keputusan ini dengan waras, meskipun pahit untuk ditelan.