Hasrat seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Kedah untuk menyelamatkan rakannya yang dipercayai lemas di kawasan air terjun dekat Muzium Arkeologi Lembah Bujang akhirnya meragut nyawanya sendiri selepas dia ditemui lemas jam 5.50 petang kelmarin.
Mangsa, Mohammad Syafiq Omar, 22, bersama tiga rakannya dikatakan beriadah di tasik berkenaan.
Rakan baik mangsa, Muhammad Azri Zulkifli, 22, mengakui pernah ke lokasi kejadian untuk mandi bersama sebelum ini tetapi hairan kerana mangsa tidak memberitahu bahawa dia mahu ke kawasan air terjun bersama rakan lain pada hari kejadian.
“Dia tak beritahu saya pun nak ke sana dan sebelum bertolak hanya mengejutkan saya ketika itu sedang tidur tetapi tidak memaklumkan bahawa nak pergi mandi.
“Bagaimanapun, dalam keadaan separuh sedar saya kembali melelapkan mata,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani malam kelmarin.
Menurutnya, dia kemudian menerima panggilan pada jam 5.50 petang dari seorang rakan bertanya mengenai tragedi berkenaan.
“Saya kemudian cuba menghubungi telefon bimbit mangsa dan ketika itu rakan yang berada di lokasi mengesahkan kejadian,” katanya semalam.
Azri berkata, mangsa yang merupakan pelajar semester empat Ijazah Sarjana Muda Kewangan itu adalah seorang yang sentiasa ceria dan saling mengenali sejak berada di peringkat diploma lagi.