Kelekaan terhadap hiburan tanpa batasan antara faktor yang boleh melemahkan minda Melayu.
Yang Dipertua Pertubuhan Perkasa Pahang, Datuk Dr Abd Wahid Manap berkata, hiburan boleh meracuni minda terutama generasi muda sehingga mereka hanyut dan lupa hala tuju untuk mengangkat martabat diri, agama dan bangsa.
Menurutnya, berhibur tidak salah namun jika meletakkan hiburan itu sebagai ‘jiwa’ ia sesuatu yang merosakkan.
“Hari ini ada yang menangis bila peserta program realiti berkonsepkan hiburan diminati terkeluar namun mereka tidak pernah menitiskan air mata melihat anak bangsa ‘tertewas’ akibat dadah, gejala sosial, lumba haram dan sebagainya.
“Sepatutnya kita menyelami dan mencari jawapan kepada masalah sosial yang membelenggu jiwa anak muda Melayu hari ini yang semakin membimbangkan dan bukan hanyut dengan hiburan melalaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Tahunan Perkasa Pahang Kali Ke-3 di sini, semalam.
Abd Wahid berkata, banyak lagi perkara yang merosakkan orang Melayu, justeru semua pihak termasuk kerajaan perlu meneliti secara mendalam berhubung masalah ini.
“Kita akan terus meneliti perkara yang jelas meracuni minda Melayu dan jika perlu, desakan akan dibuat kepada kerajaan supaya mengambil tindakan sewajarnya.
“Jiwa yang lemah dan terbelenggu menyebabkan Melayu terus ketinggalan dan terpinggir di tanah air sendiri,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Abd Wahid berkata, Perkasa Pahang tetap dengan keputusan menyokong dan memberi kepercayaan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurutnya, dasar dan pendekatan Perdana Menteri dalam mentadbir, mengurus dan memacu negara ke arah kecemerlangan berjaya membawa keharmonian serta kestabilan negara tanpa meminggirkan kepentingan Islam, bangsa Melayu dan institusi raja-raja seperti yang termaktub dalam perlembagaan.
“Sebagai sebuah pertubuhan yang memperjuangkan hak dan keistimewaan Melayu, Islam dan institusi raja-raja, dasar Perdana Menteri itu jelas selari dengan dasar perjuangan Perkasa sendiri.
“Pada masa sama, Perkasa Pahang berpendirian menolak mana-mana dasar kerajaan yang dilihat boleh menekan dan menyusahkan Melayu,” katanya.
Dr Abd Wahid berkata, dalam mesyuarat itu, empat usul dibentangkan membabitkan beberapa isu yang semuanya menjurus kepada masa depan politik Melayu dan Islam.
“Perkasa komited untuk teruskan perjuangan dalam usaha memperkuatkan bangsa Melayu.
“Kita akan bergerak ke seluruh daerah untuk kumpul keahlian supaya pertubuhan ini kuat dan berkesan dalam memperjuang nasib Melayu,” katanya.
Menurutnya, Perkasa Pahang juga aktif mendekati bakal pengundi dan menyedarkan mereka supaya mendaftar sebagai pemilih untuk persediaan hadapi PRU14 kelak.