Quantcast
Channel: Wowberita
Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997

Kisah Cikgu Idayu Pasrah 8 Tahun Tak Dapat Tinggal Sebumbung Dengan Suami

$
0
0

FARITA Idayu Bt. Jusoh bukanlah pegawai besar. Dia hanyalah seorang guru. Guru yang baru lapan tahun berkhidmat mendidik anak watan kita.

Menjadi guru adalah cita-citanya dari kecil. Dia bukan seperti sesetengah guru, yang menjadikan kerjaya itu sekadar makan gaji.

Cikgu Idayu atau Cikgu Ayu mahu menjadi pendidik sejati. Mendidik anak-anak kita, terutamanya dari kampung pedalaman.

Selepas keluar dari kolej perguruan hatinya meronta-ronta mahu terus mengajar. Ke mana sahaja dihantar bukan halangan. Lagi pun itu telah menjadi perjanjiannya bahawa ke mana sahaja, waima ke pulau terpencil di Mabul, Sabah sekali pun dia sanggup tempuhi.

Oleh itu, Idayu sanggup meninggalkan kampung halaman di Terengganu dan dihantar mengajar di Sarawak. Pengkhususan beliau ialah subjek Fizik, Matematik dan Sains.

Guru muda itu gembira mengajar di situ. Semangatnya sentiasa berkobar-kobar mendidik anak bangsa.

Namun sebagai seorang insan, Cikgu Idayu pun mempunyai keinginan untuk berumah tangga. Jodohnya ditemukan dengan jejaka yang kebetulan berasal dari negerinya di Terengganu.

Setelah berkahwin Cikgu Idayu dipindahkan dari Sarawak ke Semenanjung, iaitu Johor.

Dia ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Syed Esa, Batu Pahat, Johor.

Suaminya pula bertugas sebagai Warder Penjara di Dungun. Sehingga kini mereka telah berkahwin selama lapan tahun.

Bagi pasangan itu, seorang tinggal di Dungun dan seorang tinggal di Batu Pahat bukan halangan untuk berkhidmat sebaik-baik mungkin kepada negara tercinta ini.

Sepanjang lapan tahun mereka tidak pernah tinggal sebumbung. Sama ada suami akan ke Batu Pahat atau sebaliknya si isteri akan ke Dungun. Walaupun kejauhan, tanggungjawab zahir dan batin diteruskan sama seperti pasangan suami isteri yang lain.

Namun, setelah beberapa tahun berulang-alik mereka merasakan ia bukanlah satu penyelesaian yang baik. Sebagai penjawat awam, Cikgu Idayu mempunyai hak memohon pertukaran untuk mengikuti suami.

Sudah tujuh tahun, sejak 2008 tanpa serik dia membuat permohonan melalui Jabatan Pelajaran Negeri dan di peringkat kementerian, namun semuanya gagal.

Setiap tahun, kementerian membuka permohonan sebanyak dua kali. Dan, sepanjang tempoh itu dia telah membuat permohonan berbelas-belas kali.

Cikgu Idayu reda dengan ketentuan Ilahi. Mungkin tiada rezeki lagi, fikirnya.

Di sepanjang proses permohonan itu, dia ada juga mendapatkan surat sokongan pelbagai pihak, juga gagal.

Pertengahan tahun ini apabila rayuan pertukaran dibuka, dia antara cikgu yang paling awal berkobar-kobar dan ghairah mengisi borang. Kakitangan jabatan pun sudah kenal dengan beliau.

Sambil jari jemarinya mengisi borang itu, mulut Cikgu Idayu tidak putus-putus memohon doa agar mudah-mudahan permohonannya diperkenankan dan dapat disatukan dengan suami tercinta.

Beberapa hari lalu keputusan diumumkan. Buat kesekian kalinya, selama tujuh tahun, permohonannya ditolak sekali lagi.

Permohonannya untuk bersatu di bawah satu bumbung dengan suaminya buat pertama kalinya, juga gagal.

Cikgu Idayu terus pasrah. Fikirannya cukup tertekan. Cita-cita masa kecilnya untuk menjadi guru kini sudah menjadi satu mimpi ngeri. Cikgu Idayu kini difahamkan, sedang menerima rawatan akibat tekanan.

Lebih tertekan, setelah tujuh tahun berkahwin, dia masih belum mendapat cahaya mata. “Kerana itu saya mahu duduk berdekatan dengan suami saya…”

Sebagai penulis, saya tidak pasti di mana silapnya dalam kes Cikgu Idayu ini.

Terus terang saya katakan, saya tidak mengenali cikgu itu. Saya hanya menerima suratnya – mengadu kepada saya, setelah segala usahanya selama ini gagal. Mengadu kepada saya adalah jalan terakhir beliau.

Tulis beliau kepada saya: “Keluarga kami sejak zaman nenek moyang 100 peratus menyokong, berjuang untuk UMNO. Saya minta tolong dengan menteri-menteri UMNO, takda satu tandatangan mereka yang laku… jalan akhir, nampaknya saya perlu berhenti kerja walaupun itu cita-cita saya sejak kecil mahu menjadi cikgu untuk bantu anak bangsa.”

Kisah Cikgu Idayu, saya anggap adalah satu daripada banyak lagi kes yang serupa.

Bagi saya dalam puluhan ribuan guru di seluruh negara, dan mobilisasi guru-guru baru setiap tahun, apakah sebenarnya masalah Cikgu Idayu ini? Terus terang saya katakan saya tidak faham dengan sistem proses pertukaran itu.

“Mereka memberi alasan pengkhususan saya sudah penuh di Terengganu,” katanya.

Jika satu, dua tahun mungkin kita boleh terima dia gagal, tetapi apabila ia sudah masuk tahun ketujuh, maka di mana pula silapnya? Di mana pertimbangan kemanusiaan pula?

Apakah semua pihak mahu melihat Cikgu Idayu, seorang guru Fizik dan Matematik ini melepaskan jawatannya?

Wahai Pengarah-pengarah Pendidikan Negeri-Negeri, Ketua Pengarah Pendidikan, Ketua Setiausaha Kementerian dan menteri-menteri serta timbalan-timbalannya, tolonglah teliti kes ini.

Saya berharap janganlah dihukum Cikgu Idayu gara-gara tulisan ini. Ambillah iktibar positif daripada tulisan ini untuk memperbaiki mana-mana sistem yang lemah.

Saya difahamkan Kementerian Pendidikan memang sedar mengenai sindrom suami-isteri berpisah ini. Harap-harap kes Cikgu Idayu ini boleh diselesaikan.

Jika ini pun susah hendak diselesaikan, apakah kita sudah bersedia untuk menjadi sebuah negara maju?

Incoming search terms:


Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997