Penyanyi pop Britney Spears dan kekasihnya Jason Trawick akhirnya mengumumkan pertunangan mereka, semalam. Pasangan itu mengadakan majlis tertutup di Planet Hollywood Resort and Casino untuk meraikan pertunangan mereka bersama keluarga dan rakan terdekat.
Pasangan terbabit juga dijangka meraikan kegembiraan mereka dalam majlis makan malam di Chocolate Lounge, Sugar Factory di Hotel Paris sebelum menghadiri parti tari-menari di kelab malam Chateau.
Trawick melamar Britney malam Jumaat lalu ketika dia menyambut hari jadinya yang ke-40 tahun. Dia menghadiahkan cincin berlian tiga karat Neil Lane ketika melamar Britney.
Trawick sebelum itu meminta kebenaran daripada bapa Britney, Jamie Spears yang bertindak sebagai penjaga Britney untuk mengahwini anak perempuannya. Britney mula berpacaran dengan Trawick pada awal 2009 selepas hubungan kontroversi penyanyi itu bersama paparazzi Adnan Ghalib berakhir.
Trawick juga dikatakan mempunyai hubungan yang rapat dengan dua anak lelaki Britney, Sean Preston, 6, dan Jayden James, 5. Pasangan itu dikhabarkan akan memeterai perjanjian praperkahwinan sebelum melangsungkan perkahwinan mereka.