Solidariti Muslim Prihatin mendakwa filem pendek, Oley yang dihasilkan gerakan tersebut mendapat sambutan hebat di kalangan pengguna internet. Solidariti Muslim Prihatin melalui satu kenyataan mendakwa, Oley telah ditonton sebanyak 154,687 kali dan mendapat `likes’ sebanyak 8,729 dan cuma 72 `dislikes’.
“Oley adalah filem pendek yang terhasil khusus bagi menjawab segala tohmahan mengenai hukum Islam yang dipersenda oleh filem pendek “Bicara Rakyat“.
“Oley mendapat sambutan hebat berbanding video pendek “Sembang Rakyat” yang cuma jumlah likes sebanyak 57 kali dan dislikes sebanyak 3,048 kali,” dakwa kenyataan itu.
Kenyataan itu mendakwa, sambutan tersebut membuktikan rakyat menerima pelaksanaan hukum hudud dengan baik dan tidak dapat menerima penghinaan terhadap hukum itu oleh beberapa individu sejak akhir-akhir ini.
Dakwa kenyataan itu lagi, penerimaan baik filem pendek Oley sebagai indikator bahawa golongan muda tidak bencikan hukum Islam.
Sebaliknya, dakwa kenyataan itu, golongan muda menerima hukum Allah dengan baik dan memberi kepercayaan kepada mereka yang memperjuangkan hukum Islam.