“Arwah sempat menjerit panggil saya. Dua kali. Saya cuba selamatkan dia, tetapi api marak,” kata Irwan Mad Nayan, 32, ayah kepada mangsa, Adam Ikmal Irwan, 4, yang maut dalam kebakaran di kediamannya kira-kira jam 4.20 petang di Kampung Rambong Padang Batu 7 semalam.
Anak kedua daripada tiga beradik itu ditemui rentung berdekatan pintu masuk kediamannya.
Irwan berkata, dia termasuk isteri dan anaknya sedang berehat di ruang bawah rumah selepas pulang dari majlis kenduri di Sungai Petani.
Menurutnya, mangsa berada di tingkat atas dan sedang bermain seorang diri.
“Saya terkejut apabila Adam menjerit memanggil, saya terus naik ke bahagian tingkat atas rumah, tetapi api sudah besar.
“Saya cuba selamatkan Adam, tetapi api terlalu marak. Isteri, saya juga cuba menyelamatkan anak kami, tetapi gagal,” katanya.
Katanya, dia terpaksa membawa isterinya, Khuzaimah Abas, 33 dan ahli keluarganya yang lain keluar sementara mendapatkan bantuan bomba dan penduduk kampung untuk menyelamatkan anaknya itu.
“Namun, api terlalu besar dan marak. Tiada apa yang dapat dilakukan,” katanya.
Pasukan bomba dan penyelamat terpaksa menggunakan generator dan pam air berikutan laluan masuk kediaman itu tidak dapat dilalui jentera bomba.
Difahamkan, keluarga mangsa terpaksa menumpang di kediaman saudara mereka setelah kediamannya itu hangus sepenuhnya.
Tiada sebarang harta benda dapat diselamatkan dalam kejadian.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Baling untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.
Punca kebakaran masih dalam siasatan.