Aksi Liga Perdana Inggeris, Isnin ini bakal menyaksikan pendahulu, Manchester City bertandang ke West Brom manakala pasukan di tangga kedua, Manchester United menanti kunjungan Wigan.
Selepas mengharungi 17 perlawanan, City kini mengumpul 44 mata, United 42, Tottenham 35, Chelsea 33, Arsenal 32 dan Liverpool 30. Namun Tottenham kurang satu perlawanan.
Skuad bimbingan Roberto Mancini itu akan beraksi dua perlawanan berturut-turut di tempat lawan dengan dijadual berdepan pula Sunderland, Ahad depan.
City yang pertama kali berjaya bergelar pendahulu liga menjelang Krismas sejak melakukannya pada 1929 dilihat agak kurang baik pada dua aksi terakhir mereka di tempat lawan iaitu sekadar seri 1-1 dengan Liverpool disusuli kekalahan 1-2 kepada Chelsea.
“Kami masih mempunyai Chelsea, Manchester United, Tottenham dan Liverpool yang akan berkunjung ke Stadium Etihad selepas ini. Tapi apa pun kami tetap memerlukan sebanyak mana kemenangan di tempat lawan.
“Pada dua aksi di tempat lawan sebelum ini, kami hanya dapat membawa pulang satu mata. Saya jangka ia pasti akan menjadi perlawanan yang cukup sukar kerana West Brom menang kedua-dua aksi terakhir dan pasti pada prestasi terbaik,” kata Mancini.
Sementara itu, pengurus United, Alex Ferguson tidak menganggap ia hanya persaingan dua penjuru di antara pasukannya dan City.
“Pada kedudukan ini, semua berasakan ia akan menjadi pertarungan satu dua di antara dua pasukan dari Manchester. Tapi sebenarnya semua sudah berubah.
“Lihat semula beberapa musim kebelakangan ini, betapa dramatiknya saingan liga ini. Jika kalah satu perlawanan liga, lain-lain pencabar akan merapatkan jurang dan mula memberikan tekanan hebat,” kata Ferguson.