Seluruh badannya hancur hingga menampakkan tulang, manakala kepalanya pula berkecai dan hanya meninggalkan cebisan rambut.
Begitu keadaan mayat seorang kanak-kanak, Muhammad Aslam Maricar Said Ibnu Salam, 3, yang diseret sejauh 10 kilometer oleh sebuah kenderaan selepas dia tercampak keluar dari kereta dinaikinya bersama keluarga yang terbabas kerana mengelak bangkai haiwan di atas jalan.
Lebih memilukan apabila mayat mangsa hanya ditemui tiga jam selepas kereta dipandu bapanya, Said Ibnu Salam G M Ismail, 47, terbabas ketika cuba mengelak bangkai anjing di Kilometer 168.4, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di Niong Tebal, malam kelmarin.
Mayat mangsa dalam keadaan mengerikan itu ditemui pengguna lebuh raya di tepi jalan berhampiran Hentian Sebelah Sungai Bakap, sebelum memaklumkannya kepada polis.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat berkata, kejadian berlaku jam 8.45 malam apabila kereta Ford Laser yang dinaiki mangsa sekeluarga dalam perjalanan dari Bukit Merah Lake Town Resort di Taiping, Perak menuju rumah mereka di Jalan Shaik Madar, Ayer Itam, Georgetown.