Jenazah Koperal Raja Aizam Raja Mohid yang maut selepas diserang hendap oleh sekumpulan warga asing di Klang, Selangor awal hari ini, selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sayong Lembah, di Kuala Kangsar malam ini.
Baca: Anggota Polis Maut, Rakan Cedera Parah Diserang 5 Lelaki
Terdahulu, suasana pilu menyelubungi rumah ibunya Sapiyah Endut, 79, apabila kaum keluarga dan sahabat handai yang menunggu sejak 2 petang menitiskan air mata sebaik jenazah Allahyarham tiba dari Klang, sebelum solat Isyak.
Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Khariah untuk disembahyangkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan.
Dalam kejadian pukul 5 pagi di Taman Sentosa, Raja Aizam, 55, dan rakan setugas Koperal Mohd Aidil Mustafa, 29, diserang hendap oleh sekumpulan warga asing ketika mereka melakukan rondaan di kawasan berkenaan.
Susulan itu berlaku pergelutan yang menyebabkan Raja Aizam cedera di kepala dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah manakala Mohd Aidil cedera di muka dan kini dirawat di hospital sama.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri Nor Salmah Nordin, 52, serta empat anak.