Gara-gara cemburu, seorang lelaki bertindak kejam menyimbah petrol ke badan isterinya sebelum membakar wanita itu di rumah mereka di Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu, malam kelmarin.
Kejadian jam 11.30 malam itu berlaku apabila mangsa yang berusia 30 tahun dan bekerja sebagai jurujual sebuah pasar raya, dituduh suaminya mempunyai hubungan dengan lelaki lain.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami lecur 40 peratus pada muka serta kedua-dua tangan dan kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Superintendan Idris Abd Rafar berkata, adik mangsa dihubungi kakaknya memberitahu dia dipukul, disiram dengan petrol dan dibakar oleh suaminya.
Menurutnya, adik serta tiga abangnya bergegas ke rumah mangsa dan apabila sampai, mereka sempat melihat suspek menampar muka mangsa di luar rumah.