Tidak berhati perut! Itulah perkataan yang sesuai bagi mereka yang sanggup mendera kanak-kanak seperti nasib yang menimpa budak perempuan berusia dua tahun enam bulan dari Kampung Seri Perkasa, dekat Hutan Melintang, Isnin lalu.
Dalam kes ini, yang disyaki mendera budak itu adalah ibunya sendiri, bersama teman lelakinya.
Kejadian itu terbongkar apabila mangsa dibawa kedua-dua suspek itu ke Hospital Sabak Bernam, Selangor, Isnin lalu selepas dia koma.
Ketua Polis Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, doktor bertugas di jabatan kecemasan hospital berkenaan, mendapati mangsa dalam keadaan tidak bergerak dengan mata terbuka dan pernafasan tidak stabil.
Kok Liang berkata, berdasarkan pemeriksaan awal oleh doktor, terdapat beberapa kesan seperti didera, antaranya lebam dan calar pada tangan, belakang badan serta muka.
“Doktor tersebut juga mendapati benjolan di kiri kepala kanak-kanak malang itu.
“Doktor yang mengesyaki mangsa didera segera menghantar kanak-kanak malang itu ke Hospital Besar Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum laporan polis dibuat,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.
Menurutnya, pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak membuat lawatan ke atas mangsa Hospital Besar Sungai Buloh untuk menyiasat kes tersebut.
Katanya, ketika lawatan itu, pegawai penyiasat mendapati mangsa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital tersebut dan berada dalam keadaan kritikal dengan kemungkinan mengalami pendarahan otak.
“Polis sudah merakam percakapan doktor yang merawat kanak-kanak malang itu dan merekodkan semua kecederaan mangsa.
“Buat masa ini, kita telah menahan ibu kandung kanak-kanak yang berusia 20 tahun dan teman lelakinya berusia 26 tahun bagi membantu siasatan,” katanya.
Ibu mangsa tidak mempunyai pekerjaan dikatakan turut tinggal bersama kekasihnya yang bekerja sendiri sejak tiga bulan lalu.
Kok Liang berkata, siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek mengaku sering memukul mangsa dan mereka ditahan reman empat hari bagi bantu siasatan polis.
“Kami masih menyiasat kes tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak Kanak,” katanya.