Bekas Menteri Besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin diselar di jaringan media sosial Twitter kerana tuitnya yang dilihat memperolok-olokkan kehilangan pesawat Malaysia Airlines penerbangan Boeing 777 – MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Nizar berkata kegagalan pihak berkuasa mengesan pesawat itu beberapa jam selepas terputus hubungan sejak pukul 2.40 pagi Sabtu menunjukkan “Segitiga Bermuda yang baru telah dikesan di kawasan perairan Vietnam. Peralatan sofistikated yang lengkap tidak ada guna.”
Tuitnya itu adalah sebagai reaksi kepada tuit penyampai berita CNN, Piers Morgan yang menyuarakan kehairanannya bagaimana sebuah pesawat besar yang berteknologi tinggi boleh “hilang” begitu saja.
Kenyataan Nizar kemudiannya mendapat reaksi negatif daripada beberapa orang yang membalas tuitnya itu.