Sesi persekolahan 2012 di Terengganu, Kelantan dan Kedah bermula hari ini. Di Terengganu, seramai 21,024 orang murid darjah satu memulakan persekolahan hari ini. Ia membabitkan 349 buah sekolah rendah.
Tinjuan di Sekolah Kebangsaan Paya Resak, Marang, pagi tadi, ke semua murid tahun satu nyata bersemangat memulakan sesi persekolahan. Turut melakukan tinjauan di sekolah ini, Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Hisham Mohd Zain.
Berpakaian seragam sekolah serba baru, murid-murid ini memulakan pembelajaran dengan sesi suai kenal. Kebanyakan murid tahun satu tidak kelihatan kekok di hari pertama persekolahan. Ini kerana kebanyakan mereka sudah mengikuti pembelajaran di pra sekolah sebelum ini. Namun ada juga yang kelihatan mengantuk kerana terpaksa bangun seawal jam 6.00 pagi.
Walaupun tidak banyak ragam, ibu bapa tetap menunggu di luar kelas sambil memerhatikan gelagat anak-anak mereka.