Jaguh badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei memulakan tahun baru dengan final impian apabila bertemu musuh ketatnya, Lin Dan di final Terbuka Korea, hari ini selepas mereka menundukkan lawan masing-masing di separuh akhir, semalam.
Chong Wei memastikan langkah penuh bergaya untuk bertemu pemain China yang digelar ‘Super Dan’ apabila mudah menundukkan seorang lagi pencabar negara itu, Du Pengyu 21-8,21-13 dalam aksi separuh akhir.
Laluan Lin Dan ke final juga tidak menghadapi banyak masalah apabila pemain Jepun, Sho Sasaki yang dihadapinya petang semalam mudah dijinakkan, 21-16, 21-14.
Kemenangan Chong Wei secara tidak langsung memudahkan laluannya untuk membuka buku baru tahun ini dengan meraih gelaran juara selepas prestasi tidak menentu pada hujung tahun lalu mula merisaukan banyak pihak.
Apatah lagi lawan yang menantinya adalah Lin Dan yang sentiasa dianggap sebagai penghalang utama untuk misi penting meraih pingat emas Olimpik pertama negara pada Sukan Olimpik London yang bakal bermula 27 Julai ini.