Dalang yang menggunakan laman sosial Facebook untuk menghina Islam tidak akan terlepas daripada tindakan kerana beberapa agensi penguatkuasa sedang memburu pihak terbabit.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata pihaknya sedang berbincang dengan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim; Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM); Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta polis bagi mengesan individu menghina Islam melalui Facebook.
Jamil Khir mengulas tindakan 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kira-kira 10,000 ahlinya membuat laporan polis berhubung kenyataan dalam laman blog yang menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian kelmarin.