Dua beradik perempuan termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) yang tidak tahan menanggung derita apabila kerap dicabul abangnya bertindak melaporkan kejadian itu kepada polis sebelum suspek ditahan, Selasa lalu.
Sumber berkata, dua gadis berusia 17 dan 20 tahun berkenaan membuat laporan di Balai Polis Kulim selepas tidak tahan dengan perbuatan terkutuk abang mereka yang berusia 21 tahun yang didakwa sering mencabul mereka ketika berada di rumah.
Menurutnya, abang mangsa didakwa sering mengambil kesempatan terhadap adik-adiknya itu, tetapi perkara berkenaan hanya didiamkan sahaja kerana mereka bergantung harapan kepada lelaki terbabit termasuk menanggung keperluan hidup seperti makan dan tempat tinggal.
“Bagaimanapun, akibat sudah tidak tertahan dengan kekerapan perbuatan sumbang abang mereka, kedua-dua mangsa nekad membuat laporan polis kejadian itu sebelum suspek berjaya ditahan bagi membantu siasatan selanjutnya.
“Kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kulim untuk pemeriksaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.