Quantcast
Channel: Wowberita
Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997

Pelajar Tahfiz Mati Tercekik Mi Segera

$
0
0

Seorang pelajar tahfiz dari Sekolah Agama Assiddiqiah Al Islamiah dekat sini meninggal dunia ketika sedang tidur dipercayai tersedak mi segera yang dimakannya di bilik asrama, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, pelajar Mohamad Daud Shariff, 18, dikatakan baru sahaja mengimamkan solat Isya dan kemudiannya ke dewan makan bersama beberapa rakannya untuk menikmati makan malam.

Kemudian, mangsa pulang ke asrama dan masak mi segera.

Rakannya, Mohamad Hisham Zainal, 17, berkata, selepas makan mi segera itu, mangsa bersama beberapa rakan lain berehat di ruang tamu asrama dan tertidur kerana keletihan bermain bola.

Katanya, kejadian disedari mereka apabila terdengar suara berdengkur yang kuat ketika tidur, lalu mereka menyalakan lampu kerana bimbang jika berlaku sesuatu antara rakan mereka.

“Selepas tiada apa-apa, kami pun tidur semula dan menutup lampu, tidak lama kemudian guru yang membuat rondaan terdengar suara yang kuat lalu masuk dan menyalakan semula lampu.

“Ketika itu kami terkejut selepas mendapati mulut arwah sudah berbuih dan mi segera yang dimakannya itu juga turut terkeluar.

“Kami cuba memanggil namanya beberapa kali tetapi tidak bergerak menyebabkan guru terus membawanya ke Hospital Kuala Nerang bagi mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya.

Sementara itu, bapa saudaranya, Bidin Salleh, 56, berkata, dia mendapat panggilan kematian anak saudaranya itu pada jam 11.30 malam dan terus ke hospital.

Menurut Bidin, dia yakin anak saudaranya itu tersedak kerana termakan mi segera semasa tidur kerana terlalu letih dengan aktiviti sukan pada waktu petang.

Bidin berkata, arwah ialah anak bongsu dari lapan beradik dan tinggal di Kampung Kuala Beris, Sik.

Mohamad Daud sangat aktif dalam sukan malah sering menjadi imam ketika solat jemaah di sekolah itu.

“Seluruh keluarga tetap reda dengan pemergiannya itu walaupun masih muda tetapi ALLAH lebih menyayanginya. Mungkin arwah tersedak makan mi segera itu hanya sebagai sebab dan musabab untuk beliau pulang menemui ALLAH,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Padang Terap, Deputi Superintenden, Ku Yaacob Ku Hamad ketika dihubungi berkata, setakat ini kes masih dalam siasatan.

Menurut beliau, sampel makanan juga telah dibawa ke Jabatan Kimia.

Bedah siasat mengenai punca kematian belum dapat dikenal pasti namun polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kematian mengejut serta tiada unsur jenayah.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997