Sekurang-kurangnya 74 orang mati manakala 1,000 lagi cedera selepas satu rusuhan berlaku ekoran kemenangan mengejut 3-1 kelab bola sepak tempatan, Al-Masry ke atas kelab terkenal dari Kaherah, Al-Ahly kelmarin. Berikut kami kongsikan gambar-gambar sekitar stadium ketika rusuhan itu berlaku.
Rusuhan itu berlaku selepas perlawanan tamat apabila para peminat kelab bola sepak Al-Masry meluru ke padang stadium bagi meraikan kemenangan mengejut itu.
Para penyokong Al-Masry yang bersenjatakan pisau, kayu dan batu mengejar para pemain dan peminat daripada kelab Al-Ahly yang berlari ke arah pintu untuk menyelamatkan diri.
Puluhan peminat bola sepak mati ditikam manakala sebilangan lagi lemas selepas terperangkap di sebuah koridor panjang dan sempit ketika mereka cuba melarikan diri daripada sekumpulan peminat pasukan lawan.
Dalam perkembangan berkaitan, ketua majlis tentera yang memerintah Mesir buat sementara waktu, Fil Marsyal Mohamed Hussein Tantawi semalam berikrar akan memburu mereka yang bertanggungjawab mencetuskan keganasan itu.