Quantcast
Channel: Wowberita
Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997

Harimau Muda akur disekat Balestier Khalsa

$
0
0

Harimau Muda terpaksa menggigit jari lagi apabila hasrat melonjak ke tangga teratas liga disekat Balestier Khalsa FC yang menang 2-0, sekali gus merampas kedudukan teratas daripada DPMM Brunei FC dalam saingan Liga Singapura (Liga-S) di Stadium Toa Payoh, malam tadi.

Tanpa kelibat Fadhli Shas yang digantung satu perlawanan, benteng Harimau Muda tampak goyah apabila seawal minit dikejutkan dengan gol pertama Balestier Khalsa FC menerusi rembatan deras Hamgaamal Shah dari luar kotak penalti yang menewaskan penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan.

Tersentak dengan gol awal itu, anak didik Ong Kim Swee menyusun strategi untuk mencari gol penyamaan dan hampir mencipta jaringan pada minit ke-19 tetapi rembatan Wan Zack Haikal Wan Nor sempat ditampan penjaga gol, Joey Sim.

Serangan bertali arus Harimau Muda ke atas skuad bimbingan Darren Stewart itu sentiasa mencemaskan lawan dengan sepakan percuma Wan Zack Haikal pada minit ke-31 dinafikan Joey manakala rembatan Nazirul Naim Che Hashim dari jarak 35 meter sedikit tersasar.

Kesilapan Shahrul Saad yang hilang kawalan dan terjatuh ketika bola di kaki Ruhaizad Ismail pada minit ke-59 memudahkan pemain tengah itu merembat untuk gol kedua Balestier.

Ketinggalan 0-2, barisan muda negara enggan menyerah kalah, sebaliknya terus mengasak ke kubu Balestier tetapi benteng tuan rumah yang diterajui kapten, Paul Cunningham utuh mengelak gawang dibolosi sehingga tamat perlawanan.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997